Thursday, 9 October 2014

LAPORAN PROGRAM

Bagi tugasan SCE 3143 ini, kami bertiga telah memilih untuk melaksanakan tajuk nombor 4 iaitu pemapanan tenaga. Kami telah melakukan perbincangan dan berpendapat bahawa tajuk ini boleh dikembangkan menjadi program kesedaran mengenai pemapanan tenaga.
Pemapanan tenaga dapat disimpulkan sebagai usaha untuk memantapkan sumber tenaga supaya ianya dapat dikekalkan dan dipelihara dengan sebaik-baiknya. Justeru kami ingin mendidik murid supaya mereka dapat menyumbang kepada pemapanan tenaga.
Rasional untuk kami melaksanakan program ini adalah kerana kami berpendapat program ini sesuai untuk dijalankan kepada murid kerana ianya dapat memberi kesedaran kepada murid mengenai pemapanan tenaga. Selain itu ianya juga dapat memberi pendedahan kepada murid apa yang akan berlaku jika dunia kehabisan sumber.
Satu sesi ceramah diadakan sempena pelaksanaan program ini dimana  untuk sesi ceramah tersebut diselitkan dengan aktiviti kumpulan dan tayangan video yang bertajuk “Apa Akan Jadi Jika Dunia Kehabisan Petroleum”.
Terlebih dahulu murid-murid didedahkan bahawa sumber terbahagi kepada dua iaitu sumber yang boleh diperbaharui seperti matahari,udara,tanah dan air dan juga sumber yang tidak boleh diperbaharui seperti petroleum,arang batu dan gas asli. Menurut Azmi(2010), Sumber – sumber tenaga yang boleh diperbaharui boleh diganti secara semula jadi dalam jangka masa yang singkat. Sumber tenaga ini akan kekal selamanya walaupun kita berterusan menggunakannya manakala sumber – sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui bermakna ia tidak boleh diganti dalam jangka masa yang singkat. Kami bernasib baik kerana murid-murid ini telah mempelajari mengenai tenaga yang boleh diperbaharui dan belum diperbaharui sewaktu di dalam kelas sains mereka.
Murid juga akan bersama-sama memikirkan kesan yang akan berlaku jika dunia kehabisan sumber melalui aktiviti yang dilaksanakan dimana aktiviti brainstorming  dan melakukan peta minda akan dilaksanakan oleh murid secara berkumpulan dan murid kemudiannya melakukan pembentangan di hadapan kelas.
Objektif program ini ialah murid dapat mengenalpasti sumber-sumber tenaga yang terdapat di bumi dan mengelaskannya kepada sumber boleh diperbaharui dan tidak boleh diperbaharui. Murid juga dapat meluahkan idea atau pendapat mengenai cara-cara untuk menjimatkan sumber tenaga seperti gas asli supaya tidak kehabisan. Selain itu murid juga dapat mengetahui apakah itu pemapanan tenaga.
Program ini telah kami jalankan di Sekolah Kebangsaan Baharu Lanjut, Sepang, Selangor kepada seramai 51 orang murid tahun 5 sekolah tersebut yang terdiri daripada 23 orang murid perempuan dan 28 orang murid lelaki. Kesemua mereka adalah berbangsa Melayu. Program ini telah dijalankan untuk tempoh lebih kurang satu jam.
            Melalui program ini saya dapat melihat ianya dapat memberi sedikit kesedaran kepada murid bahawa mereka telah sedar akan kepentingan menjaga dan menguruskan sumber tenaga seperti petroleum dan gas asli dengan baik kerana ia boleh mendatangkan kesan kepada semua orang seandainya habis digunakan.
           




 Berikut merupakan carta alir pelaksanaan program kesedaran pemapanan tenaga:


Langkah 1
Memulakan Ceramah

Langkah 2
Tayangan Video 

Langkah 3
Ceramah tentang Pemapanan tenaga

langkah  4
Aktiviti Kumpulan

Langkah  5
Pembentangan Kumpulan

Langkah 6
Perbincangan dan Penutup





Langkah 1 (Memulakan Ceramah)
Program kesedaran pemapanan tenaga ini telah dilaksanakan kepada murid tahun lima dimana murid akan diperkenalkan dengan konsep pemapanan tenaga. Pada waktu ini murid masih lagi tidak dijelaskan dengan konsep pemapanan tenaga supaya mereka dapat memikirkan apakah ia pemapanan tenaga.

Langkah 2 ( Tayangan Video)
            Murid kemudian ditunjukkan satu tayangan video yang bertajuk “Apa Akan Jadi Jika Dunia Kehabisan Petroleum”. Video tersebut adalah mengenai tiga kembar yang tidak dapat memasak ekoran kehabisan gas memasak dirumah mereka, Mereka kemudian ke kedai runcit untuk membeli gas memasak tetapi dikecewakan oleh tuan kedai yang menyatakan kepada mereka bahawa kedai tersebut kehabisan gas memasak. Lantas mereka ke kilang memproses gas memasak dan pengusaha kilang tersebut menyatakan kepada mereka bahawa dunia telah kehabisan petroleum. Mereka tidak mempercayainya lantas pergi berjumpa perdana menteri untuk menentukan kesahihan perkara tersebut. Perdana Menteri kemudian memberitahu mereka bahawa dunia akan kehabisan petroleum...
            Video tersebut ditayangkan kepada murid bertujuan untuk menyedarkan murid bahawa dunia akan kehabisan sumber satu hari nanti dan tindakan perlu diambil bagi mengelakkan perkara tersebut daripada berlaku.

Langkah 3 (Ceramah tentang pemapanan tenaga)
            Murid diterangkan mengenai apakah itu pemapanan tenaga. Murid juga diterangkan secara serba sedikit mengenai sumber-sumber yang boleh diperbaharui dan tidak boleh diperbaharui. Penekanan diberikan kepada sumber-sumber yang tidak boleh diperbaharui iaitu petroleum. arang batu dan gas asli kerana sumber-sumber inilah yang akan habis digunakan satu hari nati dan tidak akan dapat diganti.

Langkah 4 (Aktiviti Kumpulan)
            Di langkah ini, aktiviti kumpulan akan dijalankan dimana murid akan dibahagikan mengikut kumpulan. Murid diminta berbincang dan memikirkan apakah yang akan berlaku jika dunia kehabisan sumber seperti petroleum dan gas asli. Murid kemudian diminta membincangkan apakah alternatif yang dapat digunakan seandainya dunia kehabisan sumber petroleum dan gas asli. Seterusnya memikirkan apakah yang dapat mereka lakukan untuk mengelakkan perkara tersebut daripada berlaku. 

Langkah 5 (Pembentangan kumpulan)
            Setelah aktiviti kumpulan selesai dijalankan tibalah masanya untuk sesi pembentangan kumpulan dimana setiap kumpulan akan membentangkan hasil dapatan perbincangan mereka. Pembentangan ini dijalankan untuk melihat sejauhmana kebolehan berfikir murid-murid mengenai perkara yang boleh berlaku di luar kotak pemikiran mereka  dan dalam konteks bahawa mereka perlu menempuh perkara tersebut. Disini  sesi soal jawab juga berlangsung dimana murid lain dapat bertanyakan soalan kepada para pembentang.

Langkah 6 (Perbincangan dan penutup)

            Setelah selesai sesi pembentangan, sesi perbincangan akan dilaksanakan  dimana perbincangan akan tertumpu kepada apakah yang akan berlaku jika dunia kehabisan petroleum dan gas asli, apakah alternatif yang dapat digunakan jika dunia kehabisan petroleum dan gas asli dan apakah yang dapat murid lakukan bagi mengelakkan kehabisan petroleum dan gas asli.  Sesi penutup dilakukan dengan guru bertanya kepada murid adakah penting bagi kita memastikan pemapanan tenaga atau sumber berlaku. Kemudian borang soal selidik diedarkan kepada murid untuk melihat sejauhmana keberkesanan program ini kepada supaya penambahbaikan dapat dilakukan seandainya program ini akan dijalankan lagi pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment